2010...Mu pergi jua..

....Hanya di usia 07 hari 2011, negara telah mengalami pelbagai kejutan luar dugaan. Bagaimana 2010 meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis. Kejayaan skuad Harimau Malaya menjulang buat kali pertama Piala Suzuki AFF dengan mengalahkan musuh tradisi Indonesia walaupun kita saksikan bagaimana pasukan negara diprovokasi oleh pihak lawan samada melalui laporan media yang berat sebelah, penyokong mereka yang terlampau fanatik walau dari rumpun yang sama. Tidak pernah berlaku dalam sejarah sukan dunia pasukan lawan dibawa ke stadium menggunakan kereta perisai. Harimau Malaya masih mampu menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2. Kita ditewaskan di gelanggang lawan. Sekalung tahniah buat anak tempatan walaupun rata-rata media Indonesia menyatakan kita mencuri pemain yang berasal dari seberang iaitu Mahali Jusaili juga mengimport S.Kunalan. Kemuncaknya pelbagai insentif ditawarkan buat wira negara dan habuan paling lumayan bola sepak dipertimbangkan untuk tersenari ke Program Road To London 2012.    Pasukan squash negara terus mencatatkan kecemerlangan dengan Datuk Nicol terus menerajui takhta pemain di ranking pertama dunia. Juga tahniah buat Datuk Lee Chong Wei yang masih di kedudukan nombor 1 dunia walaupun terpaksa menerima badi kekalahan setiap kali bertemu jaguh China Lin Dan. Atlet negara wajar berbangga dengan kejayaan cemerlang  di dua kejohanan Sukan Asia  dan Komanwel yang mana kontinjen negara bukan sahaja dapat melepasi sasaran awal pingat malah acara sukan yang tidak diberi harapan turut menyumbangkan pingat untuk negara. Anuar Manan, Josiah Ng, Azizulhasni Awang juga turut gemilang dengan kayuhan emas mereka. Tidak ketinggalan juga tahniah buat skuad Red Warriors kerana 2010 menjadi nadi kebangkitan bola sepak Kelantan, menjadi juara Piala Malaysia buat kali pertama cukup memberi kepuasan kepada penggerak utama KAFA Tan Seri Anuar Musa. Kecemerlangan beliau mengemudi Kelantan walau dicalit beberapa kontroversi penonton yang di cop "holigan football" Tan Seri diberi kepercayaan untuk memegang tampuk kerusi nombor 2 FAM.
Bidang hiburan juga turut mencatatkan suka-duka yang tersendiri, naik turun artis silih berganti, negara terus dibanjiri artis kelahiran program realiti TV. Sehingga salah satu program terbitan stesen TV swasta yang mempertaruhkan lagu-lagu komposer tempatan dimonopoli hampir separuh artis program realiti TV. Berkualiti atau tidak, berbakat atau tidak, berdisiplin atau tidak, bukan ukuran, glamour yang dicari populariti yang didamba. Filem layar perak yang tidak mendapat sambutan di khalayak tetapi menerima pengiktirafan oleh pihak luar. Realiti menunjukkan penonton Malaysia tidak menggemari cereka yang berat dan memerlukan mereka untuk berfikir tetapi lebih menggemari filem yang santai dan komedi sahaja. Penggiat teater pula mula merasakan terpinggir bila industri ini cuba dimonopoli golongan tertentu yang didakwa lebih mengutamakan keuntungan dan mengisi kantung masing-masing serta cuba memperkosa keaslian dan ketulenan pengkarya dalam menghasilkan naskhah seni mereka.
Bila kah PRU13 ?
Persoalan yang sentiasa di benak politikus. Politik tanah air terus diwarnai dan dicanting umpama batik, tenang dan jernih umpama Banding tetapi jangan disangka bila bot meluncur berkocahlah air sehingga menghakis tebingan. Pakatan Rakyat yang diterajui PKR, DAP, PAS yang cemerlang pada PRU 2008 terus tertekan bila ada ahlinya yang berpaling tadah. Maka bertepuk lah juak-juak Tok Jib bersama bahtera BN. Diburukkan lagi dengan kekecohan yang melanda semasa Pemilihan Anggota Perwakilan Tertinggi PKR. Walau cuba diselamatkan ternyata media lebih bijak menghidu dan mensensasikan berita bagi melariskan akhbar masing-masing. Kelantan masih gagal di koset walaupun cubaan terus dilakukan, Kedah sedikit goyah dengan isu siapa yang bertanggungjawab terhadap mangsa banjir. Sedikit masa lalu bergoncang dengan isu perpindahan pasar babi. Perak terlepas walau cuba diikat kemas sehingga Sembah Derhaka patik terhadap Tuanku Sultan. Wilayah Persekutuan terus dikuasai walau dakwaan MP sukar untuk bekerja dengan tekanan dan karenah birokrasi kerajaan. Selangor sangat didambakan kerana negeri ini merupakan penyumbang terbesar kadar pendapatan dan pelaburan dalam negara. Tidak dapat dibayangkan kenapa Selangor juga boleh terlepas ke Pakatan Rakyat, "Udang di sebalik mee atau batu".  Imej jabatan kerajaan sedikit terjejas dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh penjawat awam, 2010 mencatatkan ramai jerung dan bilis yang terperangkap tapi terlepas sebelum lukah diangkat,  tidak kena dan tidak molek. 1Malaysia pula semakin diterima dan difahami oleh rakyat. 
Aidilfitri bermakna buat rakyat Kelantan bila menerima pemimpin yang amat dikenali berjiwa rakyat. Tengku Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra diangkat sebagai Al-Sultan menggantikan ayahanda tercinta selepas memanku selama hampir setahun. Baginda Sultan Ismail disahkan gering dan tidak dapat menjalankan tugas baginda sebagai Sultan. Tengku Faris Petra diangkat dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-V. Juga tercatat sejarah baru bilamana ungkapan 'Daulat Tuanku' digantikan 'Allahuakbar'. Kita juga kehilangan Baginda Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail. Kini Johor diperintah oleh Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

'2010 berlalu pergi
 2011 kini bertamu
 Hapuskan sengketa, hasad dan dengki
 Untuk mencapai negara aman dan maju'

-WSLM-
Gulakapas

Comments

Popular posts from this blog

RON 95 @ RON 97

Dulu, Kini Dan Selamanya...