Tahniah YB

2-0, kemenangan yang diboleh dikatakan selesa jika ukuran tersebut perlawanan bolasepak yang melibatkan 2 pasukan yang bertanding. Kemenangan yang menunjukkan penanda aras penerimaan dan kembalinya sokongan majoriti pengundi bumiputera melayu kepada Parti Barisan Nasional. Keputusan ini juga mungkin akan mempengaruhi mood  Y.A.B Tok Jib untuk membuat kejutan bukan ala ‘April Fool ‘ kepada rakyat untuk membubarkan parlimen dan mempersembahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong tarikh pilihanraya umum ke 13 akan diadakan. Dalil dan petunjuk makin jelas usai SPR mengumumkan selepas Mac 2011 jika masih ada dikalangan YB yang  pendek usia dan dicabut nyawa oleh Izrail, kerusi akan di biarkan kosong tanpa ada PRK. Ambo sokong itu YBhg Pengerusi SPR kerana jika PRK diadakan akan melibatkan kos yang tinggi dan peruntukan tersebut bolehlah disalurkan untuk membantu golongan-golongan yang selayaknya untuk ditolong. Perkara utama  yang ambo sangat runsingkan setiap kali PRK bakal berlangsung pintu-pintu neraka akan terbuka luas bagi mempersilakan golongan-golongan munafik yang berbohong dan menipu. Percaya lah selepas ini kedua-dua DUN ini akan tenang setenang DUN Tenang. YB yang menang pula galaslah tanggungjawab itu sebaik mungkin kerana apa yang dilakukan akan dipersoal di akhirat kelak.
Bagi ambo BN jangan terus mendabik dada berbangga dengan apa yang dicapai, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dan PR pula tidak boleh meratapi kekalahan gentleman ini. Kenapa ambo berkata begini, jika di gelanggang takraw BN mempunyai 2 tekong, 2 apit kiri dan 2 apit kanan dan ketika servis di tangan BN jaring diturunkan separas lutut bagi memudahkan tekong melakukan rejaman servis kuda ala Siam. Bagi PR pula bukan sahaja diwakili hanya 3 pemain tetapi killer tidak dibenarkan melakukan libasan bagi bola ketiga tetapi hanya boleh menanduk masuk ke gelanggang lawan tanpa melakukan rejaman.
Kerdau dan Merlimau bukan ukuran sebenar bagi mengukur kemampuan sebenar BN mahupun PR. Umum mengetahui bahawa kedua-dua DUN ini merupakan kubu kuat dan penyokong tegar BN, umpama jika dihiris kulit akan mengalir darah berwarna biru. Begitu juga jika PRK berlangsung di mana-mana DUN dan Parlimen di Kelantan itu juga bukan ukuran sebenar untuk menguji kemampuan sebenar PR  khususnya PAS kerana majoriti pengundi saluran 1 hingga saluran 4 adalah penyokong ekstrim PAS  yang berjaya melalui doktrin Islam yang digunakan mampu mempengaruhi pengundi untuk menyertai perjuangan mereka. Disamping itu keperibadian dan ketokohan jiwa seorang ulamak seperti Y.A.B Datuk Menteri Besar  Kelantan  sangat dikagumi bukan sahaja kawan tetapi musuh politik beliau juga. Tak dapat ambo bayangkan jika IC Tok Guru ini beralamat di Melaka, mungkin Tok Ali,  Tok Abu dan kaum kerabat tidak dapat cari makan .  Kenapa kekalahan demi kekalahan yang terpaksa ditanggung PR, pertama berjayanya parti lawan mengeksploitasikan isu kerjasama PAS dan DAP yang dilihat tidur sebantal tapi berlainan mimpi, kedua PR dilihat masih tidak boleh bekerjasama kerana terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang berjaya mensensasikan bagaimana  program yang diaturkan oleh PAS diboikot oleh DAP,  penutupan bilik gerakan Keadilan dan sebagainya. Umum mengetahui permasalahan ini juga berlaku di dalam kem Barisan Nasional tetapi berjaya diselimuti oleh pekerja parti dengan kerjasama media yang pro BN. Jelas beberapa hari selepas penamaan calon, Wanita UMNO telah menutup bilik gerakan Wanita bagi menunjukkan tanda protes kerana tidak terpilih sebagai calon. Ketiga peranan pihak media yang terang-terangan menunjukkan bios kepada Barisan nasional, hampir setiap hari pengundi disogokkan dengan 90%  program-program anjuran BN dan selebihnya untuk PR  tetapi berkaitan isu-isu negatif dan mendatangkan keuntungan di peti undi BN yang lebih dipaparkan. Ironinya renung sejenak persamaan yang ada pada Manik Urai, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Kesemua DUN ini terletak di luar bandar dan rata-rata didiami oleh penduduk yang berpendapatan rendah, mungkin kehendak Allah atau secara kebetulan kerana  setiap kali PRK diadakan  pelbagai janji manis ditabur dan projek pembangunan akan dilaksanakan. Maka Allah kurniakan rahmat kepada DUN tersebut mengecapi nikmat pembangunan yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah baik kawasan tersebut diwakili oleh parti kerajaan atau pembangkang. Mungkin sebelum ini wakil-wakil yang mewakili pengundi di semua DUN diatas terlepas pandang atau makan sendiri semua peruntukan maka Allah pindahkan mereka kealam akhirat dan berlakulah PRK. Bersyukur dengan perkembangan jambatan Manik Urai yang dalam proses pembinaan walaupun rasa ambo sudah berpuluh wakil rakyat yang memenangi pilihanraya tidak berjaya menaiktaraf jambatan tersebut. Kagum bila menyusuri Jalan Gua Musang-Lojing-Cameron Highland, semua rumah yang sebelumnya berdindingkan buluh berubah sekelip mata nikmat PRK yang diadakan. Mungkin selepas ini giliran Tenang, Merlimau dan Kerdau turut merasai tempias nikmat kurniaan Allah ini. Alhamdulillah…
Bagi yang berjaya tahniah dari Ambo dan laksanakan amanah sebaiknya dan bagi yang tidak Berjaya mungkin Tuan masih tidak layak dan Allah masih tidak mengangkat Tuan sebagai khalifah untuk memimpin rakyat .    

-WSLM-
Gulakapas

Comments

Popular posts from this blog

RON 95 @ RON 97

Dulu, Kini Dan Selamanya...